PELANCARAN PORTAL BAHARU KOSPERA DAN PERASMIAN COOP MART KOSPERA
Putrajaya, 30 Nov- Koperasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (KOSPERA) telah melancarkan portal baharu KOSPERA dan perasmian COOP MART KOSPERA dalam usaha menyediakan perkhidmatan yang lebih baik bagi manfaat semua ahlinya.
Perasmian portal baharu dan COOP MART KOSPERA ini telah disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato' Sri Haji Azam Baki pada majlis diadakan di Auditorium Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.
Tan Sri Dato' Sri Azam dalam ucapannya berkata, sistem pengurusan koperasi perlu lebih sistematik agar manfaatnya dapat dinikmati oleh semua.
“Saya berpendapat agar perkhidmatan koperasi yang ada perlulah bertindak sebagai platform dalam membantu kebajikan ahli-ahli yang terjejas terutamanya kesan daripada pandemik COVID-19 yang melanda negara kita sebelum ini.
"KOSPERA secara khususnya perlu membantu ahli-ahlinya dalam menjana pendapatan sekaligus menambah pendapatan sesebuah keluarga," katanya.
Tan Sri Dato’ Sri Azam turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) kerana sentiasa memberi khidmat nasihat serta garis panduan yang betul dalam menambah baik pengurusan KOSPERA sekaligus membantu KOSPERA memberikan perkhidmatan yang efisyen.
Sementara itu, Pengerusi KOSPERA, Dato' Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil turut berharap agar usaha meningkatkan pendapatan ahli-ahlinya melalui COOP MART KOSPERA dan KOSPERA dapat menjadi kenyataan bertepatan dengan slogan “Dari Anda, Untuk Anda”.
Beliau turut mengharapkan agar Kelab Sukan dan Rekreasi (KSR) SPRM serta Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) SPRM dapat memberi sokongan kepada KOSPERA dalam aktiviti-aktiviti termasuk program-program anjuran mereka.
Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali: Pengerusi PUSPANITA SPRM, Puan Sri Hajah Normah Mohd Zain; Pengarah SKM Wilayah Persekutuan, Tuan Haji Effendee O.P Andu; Setiausaha Eksekutif ANGKASA, Tuan Haji Hasnan Mustapha dan Pengarah-pengarah Bahagian SPRM.