MAJLIS LAWATAN LADANG & MENANDATANGANI PERJANJIAN KOLABORASI PERTANIAN KOBUNITI-KOSPERA

Koperasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Berhad (KOSPERA) dan Koperasi Kebuniti Selangor Berhad (KOBUNITI) telah memeterai perjanjian kerjasama strategik untuk mengusahakan penanaman rumput napier dan jagung bijian di atas tanah seluas 100 ekar.
Projek ini akan dilaksanakan di kawasan yang telah dikenal pasti di Gemas, Negeri Sembilan dengan KOSPERA dan KOBUNITI masing-masing menyumbang kepakaran dalam bidang pertanian dan pengurusan ladang. Rumput napier dan jagung bijian dipilih kerana nilai pemakanan yang tinggi dan kesesuaian dengan iklim tempatan, menjadikannya pilihan ideal sebagai makanan haiwan ternakan seperti lembu, kambing, dan biri-biri. Selain itu, tanaman-tanaman pertanian lain yang bersesuaian dengan kondisi tanah akan turut diusahakan seperti tembikai, jagung manis dan betik secara sampingan.

Majlis menandatangani perjanjian ini berlangsung pada 21 Februari lalu di Duta Riang Villa, Selandar, Melaka. Perjanjian tersebut disempurnakan oleh Pengerusi KOSPERA, Dato' Seri Shamshun Baharin Bin Mohd Jamil dan Pengerusi KOBUNITI, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dengan disaksikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Dato' Indera Junipah Wandi mewakili Ketua Pesuruhjaya SPRM selaku Penaung KOSPERA. Turut hadir di majlis ini adalah Ahli-Ahli Lembaga bagi koperasi KOSPERA dan KOBUNITI.



Dato` Seri Shamshun Baharin dalam ucapannya berkata, usaha ini adalah merupakan langkah pertama KOSPERA di dalam menceburi sektor pertanian berskala besar di samping memainkan peranan sebagai penyumbang kepada penghasilan makanan untuk ternakan haiwan di Malaysia.

KOSPERA dan KOBUNITI komited untuk memastikan kejayaan projek ini melalui pelaksanaan amalan pertanian terbaik, penggunaan teknologi moden, dan pemantauan berterusan bagi mencapai hasil yang optimum. Kedua-dua pihak juga merancang untuk meneroka peluang kerjasama lain pada masa hadapan yang dapat memberi manfaat kepada industri pertanian dan komuniti setempat.