SESI PERBINCANGAN USAHASAMA PERTANIAN BAWANG BERSAMA PERBADANAN PEMBANGUNAN PERTANIAN PERAK (SADC)

Koperasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Berhad (KOSPERA) bersama Koperasi Kebuniti Selangor Berhad (KOBUNITI) telah mengadakan sesi perbincangan bersama Perbadanan Pembangunan Pertanian Perak (SADC) pada 20 Februari yang lalu. SADC Perak yang diwakili oleh Tuan Mohd Kahar bin Mukhtarudin, Ketua Pegawai Operasi, telah mempengerusikan sesi ini yang turut dihadiri bersama oleh Dato’ Sri Shamshun Baharin bin Mohd Jamil, Pengerusi KOSPERA serta Tan Sri Abu Kassim bin Mohamed, Pengerusi KOBUNITI.

Fokus utama sesi perbincangan ini adalah sebagai menyahut usaha kerajaan dalam memperluas kawasan penanaman bawang bagi mengurangkan kebergantungan kepada bawang import. Projek ini yang merupakan antara komitmen dan peluang yang boleh ditunjukkan oleh KOSPERA dan KOBUNITI di dalam membantu kerajaan mempertingkatkan bekalan bawang bagi pasaran tempatan. Antara perkara yang dibincangkan termasuklah penggunaan teknologi pertanian moden, kaedah penanaman yang optimum, serta strategi pemasaran hasil tanaman bagi memastikan pulangan yang maksimum.

Sepanjang sesi ini, cadangan usahasama yang dibentangkan oleh KOSPERA dan KOBUNITI ini telah disambut baik oleh pihak SADC Perak. KOSPERA serta KOBUNITI amat berharap agar penerimaan positif dari SADC Perak ini dapat diterjemahkan melalui projek rintis yang boleh dilaksanakan bermula penghujung tahun 2025 ini. Dengan perancangan yang rapi dan kerjasama erat antara semua pihak, diharapkan projek ini dapat memberikan manfaat kepada ekonomi negara secara keseluruhannya.