SUMBANGAN KASIH KOSPERA MEWARNAI PROGRAM JALINAN MESRA KELUARGA SPRM 2025

Pada 17 April 2025, Program Jalinan Kasih Mesra Keluarga SPRM telah diadakan di Dewan De’ Seri Endon, PUSPANITAPURI, Presint 10, Putrajaya. Program ini bukan sahaja menjadi platform mempererat hubungan silaturahim dalam kalangan warga SPRM, malah turut menyelitkan slot kebajikan sebagai tanda keprihatinan terhadap komuniti dalaman.

Pada majlis tersebut, sumbangan telah disampaikan kepada ahli keluarga warga SPRM yang terdiri daripada anak-anak yatim dan anak-anak kelainan upaya (OKU). Inisiatif ini dilaksanakan dengan sokongan Koperasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Berhad (KOSPERA) sebagai tanda penghargaan dan sokongan berterusan terhadap kesejahteraan warga organisasi.



Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki menyatakan bahawa sebagai satu entiti, warga kerja SPRM saling melengkapi antara satu sama lain dari segi kemahiran, kecekapan serta ilmu pengetahuan.

"Keprihatinan dan komitmen SPRM terhadap kebajikan kakitangan sentiasa menjadi fokus utama Suruhanjaya ini." Beliau menyampaikan perkara tersebut ketika berucap yang dihadiri hampir 1,000 kakitangan dan tetamu jemputan.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din; serta Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM, Datin Yasmin Ahmad Merican. Majlis tersebut turut disertai oleh Timbalan-Timbalan Ketua Pesuruhjaya, Pengarah-Pengarah Kanan Bahagian, serta Pengarah-Pengarah SPRM dari bahagian dan negeri.